Tuesday, February 22, 2011

SEJARAH RAGBI DI MALAYSIA

Ragbi mula diperkenalkan di Malaysia selepas perang dunia pertama. Mengikut sejarah, sukan ini pada awalnya bermula di Negeri Sembilan. Beberapa orang pemain termasuk pegawai-pegawai Eropah telah menjalani latihan di Padang Stesen, Seremban. Kemudiannya, tertubuhlah Kelab Ragbi pertama di negara ini. Seramai 50 orang ahli telah mendaftarkan diri. Dari Negeri Sembilan , ragbi berkembang ke Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Singapura.

Kelab ragbi pula turut ditubuhkan seperti The Edwardians di Taiping, The Birch Rompers dari Perak, The Penang Asians dan Kelab Selangor dari Kuala Lumpur. Pada tahun 1934, perlawanan ragbi antara negeri yang pertama telah diadakan, iaitu bagi merebut Piala All Blues. Perak muncul sebagai juara. Seterusnya pertandingan ini telah diadakan setiap tahun hinggalah tahun 1963. Apabila Kesatuan Ragbi (KRM) ditubuhkan, pertandingan antara negeri ini telah ditukar dengan Pertandingan Bawah 23 Tahun.

Pertandingan Piala Malaya pula bermula beberapa tahun selepas Piala All Blues. Corak pertandingan sama dengan bola sepak iaitu antara negeri. Pada tahun 1983, pertandingan Piala Malaya telah ditukar kepada Piala Agong. Kini, pertandingan Piala Agong merupakan kemuncak aktiviti KRM setiap tahun. Di samping itu, terdapat pertandingan-pertanding lain seperti Kejohanan Anggota Kerajaan, Kejohanan MSSM serta beberapa kejohanan jemputan samada anjuran KRM ataupun negeri-negeri.

Kini ragbi terkenal di kalangan pelajar-pelajar sehingga terdapat pula pertandingan khusus untuk peringkat ini.

FaceBook - KESATUAN RAGBI MALAYSIA -

http://www.facebook.com/people/Kesatuan-Ragbi-Malaysia/615752840

Monday, February 21, 2011

HSBC A5N DIVISION I: MALAYSIA BAKAL BERTEMU SINGAPURA DI KOREA SELATAN PADA 01 JUN 2011

PUTRAJAYA 21 Januari 2011 - Pengarah Urusan Elite Step Asia Limited, Sean Patrick Moore telah menghubungi Sukandaily bagi memberi rujukan kepada kami dalam persediaan membuat liputan ke Kejohanan Ragbi HSBC Asian 5 Nation 2011. Pada tahun ini pasukan Malaysia akan diterbangkan ke Korea Selatan bagi menghadapi pasukan Singapura dalam perlawanan Division I HSBC A5N. Turut berada dalam Division I ialah Korea dan Filipina. Perlawanan Malaysia menentang Singapura akan berlangsung pada 1 Jun 2011.

Division II: Thailand telah dipilih sebagai tuan rumah bagi perlawanan melibatkan Chinese Taipei, Iran, India dan Thailand. Perlawanan akan berlangsung pada 4 dan 7 Mei 2011. Pada 4 Mei; Chinese Taipei akan menentang Iran dan Thailand akan menentang India.

TOP 5: Jepun, Hong Kong, Kazakhstan, Sri Lanka dan UAE RA. Perlawanan pertama akan bermula pada 23 April 2011 di antara Sri Lanka menentang UAE RA di Sri Lanka dan diikuti Kazakhstan menentang Hong Kong di Kazakshtan pada tarikh yang sama. Pertarungan 5 penjuru ini akan berlangsung sehingga 21 Mei 2011.

HSBC A5N 2011 DIVISION I

Host Union: KOREA

Semi Final A

1 June 2011 MALAYSIA v Singapore

Semi Final B

1 June 2011 Korea v Philippines

3rd & 4th Place

4 June 2011 Loser A v Loser B

1st & 2nd Place

4 June 2011 Winner A v Winner B

NAIB PRESIDEN KEHORMAT KRM DI ANUGERAH DARJAH GEMILANG SERI MAHKOTA KEDAH YANG DIHORMATI

Naib Presiden Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Dato' Wira Abdul Halim Karim

ALOR SETAR 21 Januari 2011 - Naib Presiden Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Dato' Abdul Halim Karim telah di anugerahkan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah yang DiHormati. Majlis Penyampaian Anugerah Pingat Kebesaran Negeri Kedah telah berlangsung di Istana Anak Bukit Alor Setar Ahad lalu bersempena ulang tahun ke-83 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.

Menurut Setiausaha Kehormat KRM, Saudara Nabil Hj Marzuki berkata, darjah kebesaran DGMK yang dianugerahkan kepada Dato' Abdul Halim Karim merupakan satu penganugerahan yang membawa gelaran DATO' WIRA.

" Dato' Abdul Halim Karim, naib presiden kehormat KRM telah dianugerahkan dengan darjah DGMK pada ulangtahun keputeraan Sultan Kedah yang ke-83 Ahad lalu dengan membawa gelaran Dato' Wira," Ujar Nabil Hj Marzuki.

LIGA RAGBI JOHOR 2011

MINGGU PERTAMA

Sebanyak 14 pasukan dan 7 perlawanan telah berlangsung sepanjang minggu pertama Liga Ragbi Johor 2011 merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor.

Di Zon Utara, semua perlawanan telah dimainkan pada hari Sabtu, 15 Januari 2011 di Padang UiTM Johor, Kampus Segamat. Bagi Kumpulan A, Muar Musketeers mengukuhkan kedudukannya sebagai Juara musim lalu dengan membelasah pasukan Segamat Rugby Club 122-7. Sementara satu lagi perlawanan di antara dua pasukan yang baru menyertai liga tahun ini iaitu UiTM Titans dan Pangolin RC menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan UiTM Titans dengan skor 47-8.

Sementara itu, bagi Kumpulan B, hanya satu perlawanan dapat dilangsungkan apabila pasukan UHOB yang pada mulanya menarik diri dari liga tahun ini mengesahkan penyertaannya semula pada saat-saat akhir. Walaubagaimanapun, jawatankuasa penganjur bersepakat memberikan kemenangan percuma kepada pasukan BP Jokers dengan skor 28-0. Satu lagi pasukan yang baru menyertai liga tahun ini iatu BP Panthers yang pemainnya terdiri daripada pelajar-pelajar dari Sekolah Sukan Bandar Penawar bermula garang apabila membelasah pasukan UTHM Blackowls 103-0.

Untuk Zon Selatan, Kumpulan A yang bermain pada hari Sabtu, 15 Januari 2011 di Padang IPG Kampus Temenggung Ibrahim, Johor Bahru menyaksikan Wurawari RC mendapat kemenangan pertama 27-10 menentang pasukan dari Rejimen Ke-10 RAMD Kem Majidee iaitu Southern Tigers RC. Satu lagi perlawanan menemukan UTM Pirates dan Wildcats RC yang mana kemenangan memihak kepada pasukan Wildcats RC dengan skor 20-0.

Bagi Kumpulan D, perlawanan diadakan pada hari Ahad, 16 Januari 2011 bertempat di venue yang sama iaitu IPG Kampus Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Perlawanan pertama yang menemukan pasukan Beringin Rendang RC dan pasukan muda MSSJ yang diberikan pendedahan menyaksikan perlawanan dimenangi oleh Beringin Rendang RC dengan skor 48-8. Sementara itu perlawanan kedua di antara Army Zulu yang dibarisi pemain-pemain dari unit Renjer, Kem Majidee menentang Poly Thundercats IPTI menyaksikan perlawanan dimenangi pasukan Thundercats dengan skor 27-5.


MINGGU KE-DUA

Perlawanan minggu kedua Liga Ragbi Johor 2011 merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor menyaksikan perlawanan yang sangat menarik dan perubahan kedudukan pasukan di dalam kumpulan masing-masing.

Di padang UiTM Segamat bagi perlawanan kumpulan Zon Utara, Muar Musketeers terus mengungguli Kumpulan A apabila sekali membelasah pasukan lawan dengan margin skor yang besar. Kali ini, Pangolin RFC menjadi mangsa dengan keputusan penuh perlawanan 69-0. Sementara itu pasukan UiTM Titans sekali lagi mencatat kemenangan yang kedua apabila menang besar ke atas Segamat Rugby Club (SERUC) dengan skor 89-0.

Bagi Kumpulan B, hanya satu perlawanan berlangsung pada minggu ini iaitu di antara pasukan Ungku Husin Old Boys (UHOB) menentang pasukan UTHM Blackowls. UHOB yang tidak bermain pada minggu lepas kali ini terpaksa akur dengan kehebatan pemain muda dari UTHM Blackowls apabila tunduk 5-43 di padang Sekolah Sukan Bandar Penawar. Satu lagi perlawanan telah ditunda ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian di antara pasukan BP Panthers dan BP Jokers.

Di padang Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru, 4 perlawanan telah berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas.

Pasukan Wildcats RC terus kekal di tangga teratas kumpulan apabila menundukkan pasukan Wurawari RC dengan jumlah skor 40-7. Perlawanan yang pada mulanya nampak seimbang, akhirnya berjaya dikuasai oleh Wildcats apabila mula menukar corak permainan dengan mengasak di bahagian ‘Forward’. Satu lagi perlawanan menemukan pasukan UTM Pirates dan Southern Tigers. Pirates yang tewas dalam perlawanan lepas menentang Wildcats, kali ini bermain dengan lebih tersusun dan bertenaga apabila menang besar ke atas pasukan Tigers 45-7.

Perlawanan kumpulan D berlangsung pada hari Ahad di venue yang sama menyaksikan pasukan Beringin Rendang RFC sekali lagi mendapat kemenangan yang kedua apabila menang besar ke atas pasukan Army Zulu RC dengan skor 85-7. Kemenangan ini memastikan BRRC terus kekal di ranking teratas kumpulan D. Satu lagi perlawanan ialah di antara pasukan PJB Thundercats IPTI dan MSSJ yang telah menyaksikan kebangkitan dari pasukan MSSJ apabila menang 50-5. Pasukan MSSJ yang dibentuk di kalangan pemain-pemain bawah-18 tahun Johor berjaya membuktikan kematangan di dalam permainan mereka apabila bermain secara tenang dan tersusun dalam menghadapi pasukan Thundercats yang lebih berpengalaman dan berusia berbanding mereka.


MINGGU KE-TIGA

Hujan lebat yang melanda negeri Johor Darul Ta’zim memaksa dua perlawanan dibatalkan dan dua lagi pasukan tidak hadir dan memberikan kemenangan percuma kepada pihak lawan.

Dalam kumpulan A, perlawanan penentuan juara kumpulan menemukan penyandang juara Muar Musketeers menentang pasukan UiTM Titans. Tidak seperti perlawanan terdahulu, kali ini Musketeers diberi tentangan yang agak sengit daripada Titans. Walaubagaimanapun, Musketeers yang diwaklili oleh ramai pemain berpengalaman berjaya menundukkan Titans 47-0. Satu lagi perlawanan kumpulan A di antara Pangolin dan Segamat Rugby Club menyaksikan SERUC memberikan kemenangan percuma kepada Pangolin.

Untuk kumpulan B, Bandar Penawar Panthers sekali lagi menunjukkan penguasaan mereka di dalam liga tahun ini apabila membelasah pasukan yang bermain dalam separuh akhir liga tahun 2010 Ungku Husin Old Boys 120-0. Panthers yang dibarisi pemain-pemain Sekolah Sukan Bandar Penawar bermula garang dan langsung tidak memberikan peluang kepada pihak lawan mengatur serangan. Sementara itu di padang UTHM, perlawanan yang menemukan BP Jokers dan tuan rumah UTHM Blackowls berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan dan bertahan akhirnya memihak kepada pasukan Blackowls apabila menang tipis 5-3. Perlawanan di antara Panthers dan BP Jokers yang ditunda pada minggu lepas menyaksikan BP Jokers memberikan kemenangan percuma kepada Panthers.

Di Johor Bahru, hanya satu perlawanan berlangsung iaitu untuk kumpulan C di antara pasukan Wurawari menentang pasukan UTM Pirates. Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat dan padang yang becak di IPG Kampus Temenggung Ibrahim (IPTI) menyaksikan pasukan Wurawari menggunakan pengalaman mereka berbanding pemain-pemain Pirates yang rata-rata dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman. Wisel penamat memberikan kemenangan 14-0 berpihak kepada pasukan Wurawari.

Perlawanan di antara pasukan Beringin Rendang RC dan Poly JB Thundercats IPTI pula tidak dapat dilangsungkan apabila Thundercats memberikan kemenangan percuma kepada BRRC 28-0.

Dua lagi perlawanan yang melibatkan pasukan yang pemainnya dibarisi oleh anggota tentera dari Kem Majidee RAMD 10 terpaksa dibatalkan apabila kedua-dua pasukan tersebut iaitu Army Zulu dan Southern Tigers telah dipanggil bertugas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Bintang Rugby Club 2011

LIGA RAGBI JOHOR 2011 MEREBUT PIALA PRESIDEN KESATUAN RAGBI JOHOR


Kesatuan Ragbi Johor memulakan program pembangunan Ragbi di negeri Johor untuk tahun 2011 dengan Kejohanan Liga Ragbi Johor 2011 bagi merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor bermula 15 Januari 2011.

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan di dalam kejohanan tahun ini, pertambahan sebanyak 8 pasukan berbanding hanya 8 pasukan yang bertanding pada kejohanan yang sama tahun lepas.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Tuan Haji Mohd Noor azam Osman, “Liga Ragbi Johor merupakan satu inisiatif daripada Kesatuan Ragbi Johor untuk mencungkil bakat-bakat baru dan mengenalpasti pemain-pemain yang berbakat untuk diserapkan di dalam pasukan Ragbi Johor”.

Menurut beliau lagi, pemain-pemain yang terpilih ini akan dibentuk melalui satu program khas bagi menghadapi kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia seperti Piala Agong dan National 7’s.

Pertambahan pasukan di dalam kejohanan tahun ini juga merupakan satu perkembangan yang amat positif bagi pembangunan sukan Ragbi di negeri Johor.

Sementara itu, finalis Liga Ragbi Johor pada tahun lepas iaitu Kelab Ragbi Beringin Rendang menjangkakan satu kejohanan yang sengit pada tahun ini.

Menurut pengurus pasukannya, En. Afendi Ahmad, pasukan-pasukan yang bertanding pada tahun ini lebih berkualiti dan bersedia berbanding tahun lepas.

Justeru, menurutnya lagi, pihaknya amat mengalu-alukan usaha yang dijalankan oleh pihak Kesatuan Ragbi Johor untuk membangunkan sukan Ragbi di negeri Johor dan berharap pemain-pemain pasukannya nanti akan membuktikan sesuatu di dalam kejohanan ini nanti.

Pasukan yang menjadi juara bagi kejohanan ini akan mewakili negeri Johor di dalam Kejohanan Ragbi Antara Kelab Kebangsaan yang dijangka akan berlangsung di dalam bulan Mac nanti.