Monday, February 21, 2011

LIGA RAGBI JOHOR 2011

MINGGU PERTAMA

Sebanyak 14 pasukan dan 7 perlawanan telah berlangsung sepanjang minggu pertama Liga Ragbi Johor 2011 merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor.

Di Zon Utara, semua perlawanan telah dimainkan pada hari Sabtu, 15 Januari 2011 di Padang UiTM Johor, Kampus Segamat. Bagi Kumpulan A, Muar Musketeers mengukuhkan kedudukannya sebagai Juara musim lalu dengan membelasah pasukan Segamat Rugby Club 122-7. Sementara satu lagi perlawanan di antara dua pasukan yang baru menyertai liga tahun ini iaitu UiTM Titans dan Pangolin RC menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan UiTM Titans dengan skor 47-8.

Sementara itu, bagi Kumpulan B, hanya satu perlawanan dapat dilangsungkan apabila pasukan UHOB yang pada mulanya menarik diri dari liga tahun ini mengesahkan penyertaannya semula pada saat-saat akhir. Walaubagaimanapun, jawatankuasa penganjur bersepakat memberikan kemenangan percuma kepada pasukan BP Jokers dengan skor 28-0. Satu lagi pasukan yang baru menyertai liga tahun ini iatu BP Panthers yang pemainnya terdiri daripada pelajar-pelajar dari Sekolah Sukan Bandar Penawar bermula garang apabila membelasah pasukan UTHM Blackowls 103-0.

Untuk Zon Selatan, Kumpulan A yang bermain pada hari Sabtu, 15 Januari 2011 di Padang IPG Kampus Temenggung Ibrahim, Johor Bahru menyaksikan Wurawari RC mendapat kemenangan pertama 27-10 menentang pasukan dari Rejimen Ke-10 RAMD Kem Majidee iaitu Southern Tigers RC. Satu lagi perlawanan menemukan UTM Pirates dan Wildcats RC yang mana kemenangan memihak kepada pasukan Wildcats RC dengan skor 20-0.

Bagi Kumpulan D, perlawanan diadakan pada hari Ahad, 16 Januari 2011 bertempat di venue yang sama iaitu IPG Kampus Temenggung Ibrahim, Johor Bahru. Perlawanan pertama yang menemukan pasukan Beringin Rendang RC dan pasukan muda MSSJ yang diberikan pendedahan menyaksikan perlawanan dimenangi oleh Beringin Rendang RC dengan skor 48-8. Sementara itu perlawanan kedua di antara Army Zulu yang dibarisi pemain-pemain dari unit Renjer, Kem Majidee menentang Poly Thundercats IPTI menyaksikan perlawanan dimenangi pasukan Thundercats dengan skor 27-5.


MINGGU KE-DUA

Perlawanan minggu kedua Liga Ragbi Johor 2011 merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor menyaksikan perlawanan yang sangat menarik dan perubahan kedudukan pasukan di dalam kumpulan masing-masing.

Di padang UiTM Segamat bagi perlawanan kumpulan Zon Utara, Muar Musketeers terus mengungguli Kumpulan A apabila sekali membelasah pasukan lawan dengan margin skor yang besar. Kali ini, Pangolin RFC menjadi mangsa dengan keputusan penuh perlawanan 69-0. Sementara itu pasukan UiTM Titans sekali lagi mencatat kemenangan yang kedua apabila menang besar ke atas Segamat Rugby Club (SERUC) dengan skor 89-0.

Bagi Kumpulan B, hanya satu perlawanan berlangsung pada minggu ini iaitu di antara pasukan Ungku Husin Old Boys (UHOB) menentang pasukan UTHM Blackowls. UHOB yang tidak bermain pada minggu lepas kali ini terpaksa akur dengan kehebatan pemain muda dari UTHM Blackowls apabila tunduk 5-43 di padang Sekolah Sukan Bandar Penawar. Satu lagi perlawanan telah ditunda ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian di antara pasukan BP Panthers dan BP Jokers.

Di padang Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru, 4 perlawanan telah berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad yang lepas.

Pasukan Wildcats RC terus kekal di tangga teratas kumpulan apabila menundukkan pasukan Wurawari RC dengan jumlah skor 40-7. Perlawanan yang pada mulanya nampak seimbang, akhirnya berjaya dikuasai oleh Wildcats apabila mula menukar corak permainan dengan mengasak di bahagian ‘Forward’. Satu lagi perlawanan menemukan pasukan UTM Pirates dan Southern Tigers. Pirates yang tewas dalam perlawanan lepas menentang Wildcats, kali ini bermain dengan lebih tersusun dan bertenaga apabila menang besar ke atas pasukan Tigers 45-7.

Perlawanan kumpulan D berlangsung pada hari Ahad di venue yang sama menyaksikan pasukan Beringin Rendang RFC sekali lagi mendapat kemenangan yang kedua apabila menang besar ke atas pasukan Army Zulu RC dengan skor 85-7. Kemenangan ini memastikan BRRC terus kekal di ranking teratas kumpulan D. Satu lagi perlawanan ialah di antara pasukan PJB Thundercats IPTI dan MSSJ yang telah menyaksikan kebangkitan dari pasukan MSSJ apabila menang 50-5. Pasukan MSSJ yang dibentuk di kalangan pemain-pemain bawah-18 tahun Johor berjaya membuktikan kematangan di dalam permainan mereka apabila bermain secara tenang dan tersusun dalam menghadapi pasukan Thundercats yang lebih berpengalaman dan berusia berbanding mereka.


MINGGU KE-TIGA

Hujan lebat yang melanda negeri Johor Darul Ta’zim memaksa dua perlawanan dibatalkan dan dua lagi pasukan tidak hadir dan memberikan kemenangan percuma kepada pihak lawan.

Dalam kumpulan A, perlawanan penentuan juara kumpulan menemukan penyandang juara Muar Musketeers menentang pasukan UiTM Titans. Tidak seperti perlawanan terdahulu, kali ini Musketeers diberi tentangan yang agak sengit daripada Titans. Walaubagaimanapun, Musketeers yang diwaklili oleh ramai pemain berpengalaman berjaya menundukkan Titans 47-0. Satu lagi perlawanan kumpulan A di antara Pangolin dan Segamat Rugby Club menyaksikan SERUC memberikan kemenangan percuma kepada Pangolin.

Untuk kumpulan B, Bandar Penawar Panthers sekali lagi menunjukkan penguasaan mereka di dalam liga tahun ini apabila membelasah pasukan yang bermain dalam separuh akhir liga tahun 2010 Ungku Husin Old Boys 120-0. Panthers yang dibarisi pemain-pemain Sekolah Sukan Bandar Penawar bermula garang dan langsung tidak memberikan peluang kepada pihak lawan mengatur serangan. Sementara itu di padang UTHM, perlawanan yang menemukan BP Jokers dan tuan rumah UTHM Blackowls berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan dan bertahan akhirnya memihak kepada pasukan Blackowls apabila menang tipis 5-3. Perlawanan di antara Panthers dan BP Jokers yang ditunda pada minggu lepas menyaksikan BP Jokers memberikan kemenangan percuma kepada Panthers.

Di Johor Bahru, hanya satu perlawanan berlangsung iaitu untuk kumpulan C di antara pasukan Wurawari menentang pasukan UTM Pirates. Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat dan padang yang becak di IPG Kampus Temenggung Ibrahim (IPTI) menyaksikan pasukan Wurawari menggunakan pengalaman mereka berbanding pemain-pemain Pirates yang rata-rata dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman. Wisel penamat memberikan kemenangan 14-0 berpihak kepada pasukan Wurawari.

Perlawanan di antara pasukan Beringin Rendang RC dan Poly JB Thundercats IPTI pula tidak dapat dilangsungkan apabila Thundercats memberikan kemenangan percuma kepada BRRC 28-0.

Dua lagi perlawanan yang melibatkan pasukan yang pemainnya dibarisi oleh anggota tentera dari Kem Majidee RAMD 10 terpaksa dibatalkan apabila kedua-dua pasukan tersebut iaitu Army Zulu dan Southern Tigers telah dipanggil bertugas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

No comments:

Post a Comment