Monday, February 21, 2011

LIGA RAGBI JOHOR 2011 MEREBUT PIALA PRESIDEN KESATUAN RAGBI JOHOR


Kesatuan Ragbi Johor memulakan program pembangunan Ragbi di negeri Johor untuk tahun 2011 dengan Kejohanan Liga Ragbi Johor 2011 bagi merebut Piala Presiden Kesatuan Ragbi Johor bermula 15 Januari 2011.

Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan di dalam kejohanan tahun ini, pertambahan sebanyak 8 pasukan berbanding hanya 8 pasukan yang bertanding pada kejohanan yang sama tahun lepas.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Tuan Haji Mohd Noor azam Osman, “Liga Ragbi Johor merupakan satu inisiatif daripada Kesatuan Ragbi Johor untuk mencungkil bakat-bakat baru dan mengenalpasti pemain-pemain yang berbakat untuk diserapkan di dalam pasukan Ragbi Johor”.

Menurut beliau lagi, pemain-pemain yang terpilih ini akan dibentuk melalui satu program khas bagi menghadapi kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia seperti Piala Agong dan National 7’s.

Pertambahan pasukan di dalam kejohanan tahun ini juga merupakan satu perkembangan yang amat positif bagi pembangunan sukan Ragbi di negeri Johor.

Sementara itu, finalis Liga Ragbi Johor pada tahun lepas iaitu Kelab Ragbi Beringin Rendang menjangkakan satu kejohanan yang sengit pada tahun ini.

Menurut pengurus pasukannya, En. Afendi Ahmad, pasukan-pasukan yang bertanding pada tahun ini lebih berkualiti dan bersedia berbanding tahun lepas.

Justeru, menurutnya lagi, pihaknya amat mengalu-alukan usaha yang dijalankan oleh pihak Kesatuan Ragbi Johor untuk membangunkan sukan Ragbi di negeri Johor dan berharap pemain-pemain pasukannya nanti akan membuktikan sesuatu di dalam kejohanan ini nanti.

Pasukan yang menjadi juara bagi kejohanan ini akan mewakili negeri Johor di dalam Kejohanan Ragbi Antara Kelab Kebangsaan yang dijangka akan berlangsung di dalam bulan Mac nanti.

No comments:

Post a Comment